19 November 2021

Zaman Silam

    Masa aku dekat universiti dulu, ada seketul tahi bernama Azra ni tulis pasal aku dekat blog dia. Dia tulis, aku anak orang kaya dan aku spoilt brat. Aku tak terasa pun sebab tak betul pun dan aku bagi tahu dia aku jumpa blog dia dan dia cepat - cepat delete atau tukar alamat blog dia sebab lepas tu, aku dah tak jumpa blog tu. Aku tak patut bagi tahu dia sebab kalau tak, aku mungkin boleh baca apa dia tulis pasal aku sampai sekarang.

    Aku cuma nak cerita pasal hidup aku sikit. Aku cerita ni bukan nak dapat simpati ke apa dan aku tak perlu cerita pun sebab aku tak ada tanggungjawab pun untuk terangkan diri aku tapi aku cerita ni supaya kalau ada siapa - siapa yang baca post ni, janganlah cepat jump into conclusions pasal someone yang kauorang tak pernah tahu pasal latar belakang dia.

    Aku bukanlah berasal daripada keluarga yang kaya dan aku tak malu nak mengaku pasal tu. Mak aku seorang saja yang bekerja dan dia buat tiga kerja nak sara kitaorang, mengajar dekat sekolah waktu siang, mengajar dekat tuisyen waktu malam dan jual aiskrim waktu hujung minggu. Aku ingat lagi, dia akan bawa aku dan adik - beradik ke pusat tuisyen tu dan kitaorang akan main dekat belakang kelas dan masa tu, aku tak faham apa - apa.

    Kitaorang duduk dekat taman kos rendah. Aku pernah pergi balik taman tu, saja nak tengok dan aku tak boleh percaya kitaorang boleh duduk dekat situ. Rumah kecil gila. Walaupun kitaorang susah, mak aku akan pastikan kitaorang bersiap sebab dia tak nak orang pandang rendah dekat kitaorang dan mak cik - mak cik aku pula pandang harta. Ada seorang mak cik aku ni pernah panggil kitaorang khadam.

    Kitaorang cuma dapat dua baju dan seluar setahun sekali, masa raya. Bajet untuk seorang RM100 saja, dua baju dan sepasang seluar. Kiranya, satu baju RM25 dan sepasang seluar RM50. Tu pun, kitaorang dah rasa macam banyak masa tu. Setahun tulah kitaorang akan ulang pakai pakaian yang sama. Aku ingat lagi ada seorang schoolmate aku ni, Nadia tanya aku lepas tu bila aku bagi tahu dia, dia buat terkejut lepas tu dia brag dia beli baju dan seluar setiap bulan dan bajet dia tak ada limit.

    Kalau aku nak mainan pula, RM9.90 pun aku dah rasa mahal. Yang RM50 dan ke atas, aku cuma mampu tengok sajalah. Pernah ada sales assistant ni tuduh aku nak curi barang sebab aku nampak miskin kot. Sebab tu, sekarang setiap kali aku nak beli baju, seluar, kasut dan sebagainya, aku akan teringat yang tak terlintas langsung dalam fikiran aku masa dulu nak beli semua ni. Ya, dulu dan sekarang tak sama, kos barang dah naik tapi aku masih sayang duit.

    Dulu, aku sedih jugalah kenapa aku dilahirkan dalam keadaan macam ni tapi sekarang, aku bersyukur aku dilahirkan dalam keadaan macam tu sebab sekurang - kurangnya, aku hargai duit. Ada setengah orang, mak bapa dah beli macam - macam tapi tak bersyukur atau gaji dah besar tapi masih rasa tak cukup.

    Pernah mak aku nak beli Milo tapi duit tak cukup jadi kena letak balik dekat rak. Malu tu, jangan cakaplah, Allah saja tahu. Yang cashier pula bukan nak cover ke apa, buat muka tercengang pula. Pernah masa aku kerja dekat kedai baju dulu, ada seorang perempuan ni nak beli sweater untuk anak dia. Dia tanya aku, yang paling murah berapa. Aku pun bagi tahulah dia yang paling murah RM39. Dia tertunduk lepas dia ucap terima kasih sebelum dia belah. Anak dia pandang saja, tak faham apa - apa.

    Bila aku ingat balik, aku rasa sebak dan aku patut bayarkan untuk dia. Aku faham perasaan dia sebab mak aku lalui benda yang sama masa dulu. Mak aku tak ada banyak duit tapi dia utamakan anak - anak dia sebab masa dia kecil dulu, hidup dia lagi susah jadi kalau boleh, dia tak nak kitaorang lalui apa yang dia lalui. Kalau aku ada anak nanti, aku akan pastikan hidup dia lebih baik daripada hidup aku sebab aku pun tak nak dia lalui apa yang aku lalui.

    Nak hina aku, nak pandang rendah dekat aku, silakan tapi sekurang - kurangnya aku mengaku asal - usul aku, aku tak acah - acah macam aku anak orang kaya ke apa dan kalau kau tak tahu cerita sebenar orang, jangan buat cerita pasal orang pula.