Kalau tak tahu maksud perkataan ni, nampak macam sesuatu yang menggambarkan kegembiraankan? Ke aku seorang saja yang fikir macam tu? Anyway, dia bermaksud, 'a feeling of being very sad that lasts for a long time and often cannot be explained.' Tak ada apa yang gembira langsung dan macam tulah apa yang aku rasa disebalik senyuman dan gelak ketawa aku. Kalau aku bagi tahu orang, orang selalu akan kata dekat aku, 'apa yang kau nak sedih? Kau ada macam - macam kot.' Ya, aku mengaku dan aku tak nafikan yang aku ada banyak benda berbanding dulu dan aku bukan tak bersyukur, aku bersyukur tapi benda tak boleh bawa kebahagiaan. Mungkin kejap saja tapi bukan selama - lamanya.
Aku rasa aku sedih sebab aku tak ada orang yang aku betul - betul boleh luahkan perasaan aku, yang sehati dengan aku jadi aku rasa sunyi dan aku tak malu nak mengaku. Yang buat aku lagi sedih, aku ada banyak pakaian dan kasut tapi aku tak pakai pun sebab aku tak ada siapa nak keluar sekali. Orang mungkin fikir aku yang bermasalah sebab aku tak ada ramai kawan lepas tu aku asyik buang orang dari hidup aku dan aku tak nafikan yang aku pun buat silap juga, aku pun seorang manusia juga tapi kalau orang tu dah toxic gila nak mampus, layan aku macam sampah, takkan aku nak simpan kot? Aku lebih sanggup bersendirian daripada dikelilingi dengan orang yang buat aku rasa sunyi.
Masa aku dekat sekolah dulu, dari sekolah rendah sampai sekolah menengah, aku tak ada ramai kawan. Nak burukkan keadaan, aku kena buli, bukan dengan schoolmates saja tapi dengan cikgu - cikgu juga. Bila kau jadi mangsa buli, ramai orang tak nak berkawan dengan kau sebab diaorang takut diaorang pun kena buli. Yang sudi berkawan dengan aku beberapa orang saja dan aku masih ingat diaorang sampai sekarang walaupun kitaorang dah tak berhubung. Bayangkan, 11 tahun aku hidup macam tu. Aku pun tak tahulah macam mana aku boleh lalui semua tu, aku percaya Allah berikan aku kekuatan dan aku selalu berpegang pada harapan yang keadaan akan bertambah baik.
Bila aku masuk universiti, aku jadi tak percaya dengan orang. Aku nak berkawan dengan orang dan orang nak berkawan dengan aku tapi aku payah nak percaya diaorang, aku rasa macam semua orang nak perguna aku, tak ada siapa pun yang ikhlas nak berkawan dengan aku. Sebab tulah, aku menjauhkan diri daripada K dan aku rasa dia antara manusia yang ikhlas nak berkawan dengan aku walaupun aku tak tahu apa yang dia nampak dalam diri aku. Aku menyesal sampai hari ni sebab aku terlalu ikut perasaan aku. Kalau aku tak menjauhkan diri daripada dia, mungkin aku dan dia masih berkawan sampai sekarang.
Percayalah, kalau orang buat baik dengan aku, aku balas dua kali ganda kebaikan dia. Aku memang macam tu dan aku tak pernah ada hasad dengki, niat jahat dengan orang. Bila orang berkawan dengan aku, aku layan dia macam keluarga aku sendiri. Aku bukan nak kata hati aku bersih, tak kotor langsung, aku pun buat banyak dosa juga tapi mak aku memang besarkan aku macam tu dan Allah saja yang tahu isi hati aku. Aku pun tak pastilah kenapa aku macam attract orang yang berhati busuk ni, mungkin sebab diaorang boleh bau sesuatu dekat aku dan Allah nak latih aku untuk jadi berdikari. Mungkin aku takkan jumpa kawan dekat sini tapi aku harap, satu hari nanti, aku akan jumpa juga, sekurang - kurangnya seorang.